Tuesday, September 28, 2010

masjid ubudiah




TAJUK:
Sejarah penubuhan dan kegiatan Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar, Perak.


DISEDIAKAN UNTUK:
Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah CTU551



DISEDIAKAN OLEH:
Nurul Sakinah Binti Bidin
No Matrik : 2009708121
Kumpulan: BMB2AC



PROGRAM:
Sarjana Muda (Kepujian) Pengurusan Perniagaan Sumber Manusia


TARIKH HANTAR:
29 September 2010



ABSTRAK

Masjid merupakan tempat suci bagi seluruh umat Islam di pelosok dunia ini. Seperti yang diketahui ramai, masjid digunakan sebagai tempat beribadat bagi orang Islam. Masjid bukanlah suatu tempat yang baru, ia telah lama bertapak di dunia ini semenjak zaman Nabi Ibrahim a.s lagi. Menurut sirah nabi, masjid pertama di dunia telah ditubuhkan di Mekah al-Mukarammah oleh Nabi Ibarahim a.s dan anaknya Nabi Ismail a.s.. Masjid tersebut dinamakan sebagai Masjidil Haram ataupun dikenali juga dengan nama Baitullah al-Haram. Jika kita bersolat di masjid ini, kita dikatakan akan mendapat seratus ribu kali ganda pahala berbanding bersolat di masjid lain. Alangkah bahagianya kita jikalau kita dapat selalu mengerjakan solat di masjid ini. Selain itu, terdapat juga masjid lain yg telah lama didirikan di muka bumi ini seperti Masjid Nabawi dan Masjid al-Aqsa. Masjid Nabawi terletak di Madinah al-Munnawarah. Ia didirikan oleh rasulullah s.a.w dan penganut Islam setelah berhijrah ke Madinah pada tahun pertama Hijrah. Manakala Masjid al-Aqsa telah dibina oleh Nabi Daud dan anaknya Nabi Sulaiman. Ia juga dikenali dengan nama Baitul Maqdis. Masjid ini terletak di Jurusalem, Palestin. Pada waktu itu, masjid ini merupakan kiblat pertama bagi umat Islam kemudian, Allah telah memrintahkan supaya kiblatnya ditukar ke arah Masjidil Haram. Rasullullah pernah menjadikan masjid ini sebagai tempat persinggahan sebelum naik ke langit sewaktu Isra’ Mikraj. Pada zaman Rasulullah s.a.w, Masjid Nabawi di Madinah telah berfungsi sebagai tempat ibadah, tempat konsultasi dan komunikasi bagi masalah ekonomi,sosial dan budaya, tempat pendidikan, tempat santunan sosial, tempat latihan ketenteraan dan persiapan alat-alatannya, tempat perubatan bagi orang yang tercedera semasa berperang, tempat perdamaian dan pengadilan sengketa, tempat bagi menerima orang asing yang baru datang ke negeri tersebut, tempat menawan tahanan dan pusat penerangan atau pembelaan agama. Keadaan masjid Nabawi yang mempunyai pelbagai fungsi ini telah menjadikan ia sebuah masjid yang berjaya pada suatu masa dahulu.

Berdasarkan sirah nabi ini, kita dapat lihat bahawa masjid memainkan peranan yang penting dalam melahirkan muslim yang berjaya di dunia dan akhirat. Bukan sahaja sebagai tempat beibadat tetapi ia juga dijadikan sebagai pusat kegiatan Islam dalam menyebarkan ilmu fardhu ain dan fardhu kifayah. Kita sebagai khalifah Allah s.w.t di muka bumi ini hendaklah berusaha untuk menggunakan masjid sebaik mungkin supaya kita juga dapat melahirkan umat Islam yang berjaya yang pernah dilahirkan pada masa dahulu.


PENDAHULUAN


Alhamdulillah, syukur ke hadrat ilahi dengan limpah kurnianya, akhirnya saya dapat juga menyiapkan projek individu ini. Saya telah memilih tajuk mengenai sejarah dan kegiatan masjid di kariah saya. Masjid yang telah menjadi pilihan saya untuk projek individu ini ialah Masjid Ubudiah yang terletak di Kuala Kangsar, Perak. Saya telah pergi sendiri ke masjid tersebut dengan ditemani oleh ibu dan ayah saya. Terpegun saya melihat kecantikan masjid tersebut. Di sini saya ingin menekankan bahawa masjid yang didirikan bukan sahaja untuk dipamerkan kecantikan struktur bangunannya, ia hendaklah digunakan sebaik mungkin supaya dapat menjana umat islam yang mendapat keredhaan Allah s.w.t.. Seperti yang kita ketahui masjid merupakan simbol utama dan mercu tanda Islam. Masjid sering digunakan untuk umat Islam melakukan solat berjemaah, seperti solat lima waktu, solat jumaat, solat terawih, solat hajat dan lain-lain. Di dalam Al- quran ada dinyatakan tentang fungsi ataupun peranan masjid. Allah s.w.t telah berfirman dalam Surah An-Nur (24): 36 “(Nur hidayah petunjuk Allah itu bersinar Dengan nyatanya terutama sekali) di rumah-rumah Ibadat Yang diperintahkan oleh Allah supaya dimuliakan keadaannya dan disebut serta diperingat nama Allah padanya; di situ juga dikerjakan Ibadat mensuci dan memuji Allah pada waktu pagi dan petang.” 37. “(Ibadat itu dikerjakan oleh) orang-orang Yang kuat imannya Yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta mengingati Allah, dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat; mereka takutkan hari (kiamat) Yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan.”

Selain daripada pusat ibadat, masjid juga digunakan sebagai pusat masyarakat, dimana umat Islam berhimpun untuk membincangkan dan melaksanakan pelbagai aktiviti kemasyarakatan seperti cara untuk menyelesaikan masalah rumah tangga dan keluarga, mengadakan kenduri kesyukuran dan lain-lain. Masjid juga dijadikan sebagai pusat pendidikan dan ilmu pengetahuan. Segala ilmu mengenai fardhu ain dan fardhu kifayah boleh diajar di masjid. Kita boleh mengikut contoh yang telah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w pada zaman dahulu, dimana baginda telah menggunakan masjid untuk mendidik dan menyampaikan ilmu. Selain itu, ia juga dijadikan sebagai pusat ekonomi iaitu tempat untuk pengurusan dan pentadbiran ekonomi seperti membayar zakat, pembahagian atau pemberian harta wakaf dan jiziah (cukai). Masjid juga berperanan sebagai pusat politik bagi mengadakan mesyuarat mengenai hal-hal berkaitan masyarakat dan negara seperti merancang strategi dan taktik peperangan, tempat pertemuan diplomatik dan deligasi dari negara Islam dan bukan Islam. Kegiatan kesenian juga boleh dilakukan di masjid seperti mengadakan aktiviti pertandingan hafazan Al-quran, qasidah dan lain-lain.

Seperti yang kita ketahui, masjid mempunyai pelbagai peranan dalam melahirkan umat Islam yang berjaya, bukan sahaja di akhirat tetapi juga di dunia. Oleh itu, kita haruslah menggunakannya sebaik mungkin dengan berusaha untuk memakmurkan masjid tersebut.Di dalam Surah At-taubah, ayat 18: Allah s.w.t telah berfirman, “Hanyalah orang yang memakmurkan masjid-masjid Allah. Ialah orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian serta tetap mendirikan solat, zakat & tidak takut (kpd sesiapa pun) selain Allah. Maka merekalah orang yang diharapkan termasuk ke dalam golongan orang-orang yg mendapat petunjuk”.

Masjid merupakan satu tempat yang suci, oleh itu, kita haruslah memelihara kesuciannya dengan mengelakkan diri kita daripada melakukan perkara-perkara yang tidak boleh dilakukan sewaktu di dalam masjid dan juga di sekeliling kawasan masjid. Kita juga digalakkan untuk melakukan perkara-perkara yang harus dilakukan sewaktu di dalam masjid. Para pengunjung masjid hendaklah memakai hiasan ketika mengunjungi masjid sebagaimana firman-Nya dalam Surah Al-A’raf (7): 31: “Hai anak-anak Adam, pakailah pakaianmu yang indah setiap (memasuki) masjid. Rasulullah s.a.w juga menganjurkan supaya kita memakai wangi-wangian sewaktu berkunjung ke masjid dan baginda juaga melarang kepada mereka yang baru sahaja memakan bawang memasukinya. Masjid haruslah menjadi tempat yang dapat memberikan ketenangan dan ketenteraman kepada para pengunjungnya. Rasulullah s.a.w melarang umatnya dari berbicara mengenai hal-hal yang berkaitan dengan duniawi. Baginda telah bersabda, “Jika engkau mendapati seseorang menjual atau membeli di dalam masjid, katakanlah kepadanya, "Semoga Allah tidak memberi keuntungan bagi perdaganganmu," dan bila engkau mendapati seseorang mencari barangnya yang hilang di dalam masjid, maka katakanlah, "Semoga Allah tidak mengembalikannya kepadamu (semoga engkau tidak menemukannya).” Selain itu, sebahagian ulama telah menekankan bahawa kehadiran para pengemis di masjid dan sekitarnya adalah tidak wajar.


KONSEP

Perkataan “masjid” memang telah diketahui secara umum tetapi adakah kita benar-benar memahami dan mengetahui secara mendalam maksud masjid ini? Menurut Kamus Dewan, masjid dari segi bahasa membawa maksud sebuah bangunan khas di mana ianya menempatkan orang Islam beribadat. Manakala, di dalam kamus Arab, masjid mempunyai maksud yang lebih mendalam, ia didefinisikan sebagai “suatu tempat di mana orang-orang melaksanakan sembahyang berjemaah.” Ini bermakna masjid adalah satu tempat yang digunakan hanya untuk sembahyang berjemaah dan segala aktiviti yang berkaitan dengan sembahyang sahaja, tidak ada aktiviti lain selain bersembahyang. Dalam Kamus Inggeris pula masjid bermaksud sebagai ‘Islamic place of worship’.Definisi ini mempunyai maksud yang lebih kurang sama dengan versi bahasa Melayu dan disini masjid mempunyai maksud yang lebih luas kerana ia tidak hanya memberikan maksud sebuah “bangunan khas” tetapi masjid dikatakan sebagai sebuah “tempat” yang bersifat Islam. Untuk mengelakkan kekeliruan dalam definisi masjid dari segi bahasa, seorang pensyarah dari Universiti Brunei Darussalam iaitu Dr. Abdurrahman Raden Aji Al-Haqqi telah menulis di dalam kertas kerjanya yang memberi maksud masjid berdasarkan Akta Majlis Ugama Islam dan Mahkamah-mahkamah Kadi Penggal 77 iaitu: “Sebuah bangunan yang didirikan atau digunakan bagi maksud mengadakan sembahyang, perkhidmatan-perkhidmatan dan lain-lain upacara yang berkaitan dengan agama Islam, dan termasuk sebuah surau.”

Sementara itu, dari segi istilah masjid berasal daripada perkataan "sajada" yg membawa maksud sujud. Sujud juga boleh di sama ertikan dengan perkataan patuh, taat dan tunduk dengan penuh hormat dan khusyuk. Sewaktu bersolat, umat Islam meletakkan dahi, kedua tangan, lutut, dan kaki ke bumi, perbuatan ini dinamakan sujud oleh syariat. Oleh itu, secara keseluruhannya masjid membawa makna tempat bersujud orang Islam kepada Allah s.w.t yang maha esa. Allah s.w.t telah berfirman dalam surah Al-Jin (72): 18 yang bermaksud, “Sesungguhnya masjid-masjid itu adalah milik Allah, oleh itu janganlah menyembah selain Allah sesuatu pun.” Rasulullah s.a.w juga ada bersabda: Telah dijadikan untukku (dan untuk umatku) bumi sebagai masjid dan sarana penyucian diri (HR Bukhari dan Muslim melalui Jabir bin Abdullah). Sabda Rasulullah ini membawa maksud bahawa Allah s.w.t telah menjadikan bumi ini untuk didirikan masjid dan ia bukan hanya sekadar tempat untuk beribadat dan penyucian diri tetapi masjid juga dijadikan tempat untuk melaksanakan segala aktiviti manusia yang mempunyai kaitan dengan kepatuhan kepada Allah s.w.t.

Di dalam Al-quran, perkataan masjid diulang sebanyak dua puluh lapan kali. Allah s.w.t telah menjanjikan syurga bagi sesiapa yang hendak membelanjakan hartanya bagi mendirikan dan memelihara masjid. Nabi Muhammmad s.a.w pernah bersabda, “Barangsiapa membangun dari harta yg halal sebuah masjid utk Allah maka Allah mesti membangunkan rumah untuknya di Syurga.”

Ini menunjukkan betapa pentingnya masjid kepada pambangunan umat Islam. Tanpa masjid, robohla istitusi Islam tersebut.


HURAIAN

Masjid Ubudiah yang terletak di Kuala Kangsar, Perak telah menjadi pilihan saya untuk dijadikan bahan bagi projek individu ini. Saya memilih masjid ini kerana jaraknya yang tidak jauh daripada tempat tinggal saya dan saya juga ingin mengetahui dengan lebih mendalam tentang sejarah masjid ini.

Ubudiah bermaksud pengabdian kepada Allah s.w.t yang maha agung. Masjid Ubudiah ini merupakan salah satu masjid yang terindah di Malaysia dan telah menjadi satu simbol kebanggaan bagi penduduk negeri Perak. Masjid Ubudiah ini telah dibina diatas titah Sultan Idris Murshidul’adzam Shah dimana dia merupakan sultan Perak yang ke-28. Sejarah masjid ini bermula semasa Sultan Idris beristirahat sewaktu di dalam rawatan di Port Dickson, Negeri Sembilan, baginda telah bernazar untuk menbina sebuah masjid di Bukit Chandan, Kuala Kangsar sekiranya kesihatan baginda semakin baik. Setelah kesihatan Sultan Idris semakin pulih, baginda berangkat balik ke Kuala Kangsar dan bagi menyempurnakan nazar baginda, baginda telah menitahkan seorang arkitek iaitu Kolonel Huxley daripada Jabatan Kerja Raya Kuala Lumpur supaya menyediakan reka bentuk untuk masjid yang hendak baginda dirikan. Kemudian, seorang arkitek yang bernama Hubback telah diberikan amanah untuk menyediakan reka bentuk masjid itu dan beliau telah menerapkan unsur- unsur “Moor” dalam reka bentuk masjid tersebut. Unsur “Moor” bermaksud penerapan Islam-India dalam pembinaan sesebuah bangunan. Manakala jurutera yang telah ditugaskan untuk melaksanakan pembinaan masjid ini ialah Tuan Caulfield.

Pada 26 September 1913 kerja pembinaan masjid Ubudiah ini telah bermula tetapi oleh kerana batu marmar yang diimport dari Itali telah dirosakkan oleh dua ekor gajah yang bertempur di tapak pembinaan masjid ini, kerja-kerja pembinaannya telah tergendala untuk sementara waktu. Menurut satu cerita, gajah kepunyaan Sultan Idris yang bernama Kulub Chandan telah bergaduh dengan gajah kepunyaan Raja Chulan Ibni Sultan Abdullah yang bernama Kulub Gangga. Perbalahan antara dua ekor gajah tersebut telah melarat sehingga ke tempat simpanan batu marmar. Walaupun telah ramai orang yang cuba untuk meleraikan perbalahan tersebut, ia tetap berlanjutan sehingga berjam-jam lamanya. Akhirnya perbalahan tersebut terlerai apabila Raja Chulan sendiri datang dan menyeru nama gajahnya. Masjid Ubudiah ini dapat disiapkan sepenuhnya pada tahun 1917 dengan menelan kos sebanyak $189,000.00. Walaubagaimanapun, malangnya, pada tahun 1916 Sultan Idris telah mangkat dan baginda tidak sempat untuk melihat masjid yang telah siap ini. Masjid ini telah dirasmikan oleh Sultan Abdul Jalil Karamatullah Shah iaitu sultan yang ke-29, pada tahun 1917.

Kemudian, pada tahun 1993 kerja- kerja penambahan keluasan masjid ini telah dilakukan kerana ia tidak dapat menampung kuantiti jemaah masjid yang semakin meningkat. Jabatan Kerajaan Negeri telah dipertanggungjawabkan untuk melakukan kerja- kerja penambahan ini dan mereka telah mengambil masa selama dua tahun untuk menyiapkannya. Kos yang telah dibelanjakan untuk menyiapkan penambahan masjid ini adalah sebanyak RM2.9 juta. Setelah selesai proses penambahan, masjid ini dapat menampung sebanyak 2,300 orang jemaah pada satu-satu masa.

Reka bentuk masjid ini sangat indah dan seninya sungguh halus dan teliti. Masjid ini mempunyai 4 buah menara setinggi 126 kaki dan menara tersebut dikelilingi oleh kubah-kubah yang mana tiap-tiap satu garis pusatnya berukuran sepanjang 60 kaki. Jumlah kubah dan menara dikatakan mengambil sempena aturan gelaran Orang Besar-Besar iaitu Orang Besar Ampat, Orang Besar de-lapan dan Orang Besar Enam Belas. Manakala di bahagian dalam masjid ini pula, kita akan dapat lihat di mana kebanyakkan dingding dan lantainya diperbuat daripada batu marmar. Selain daripada itu, di bahagian luar masjid ini terdapat sebuah makam yang menempatkan kubur kaum kerabat diraja. Dibawah ini kita dapat lihat keadaan dalam dan luar masjid ini dan juga gamba carta organisasinya.

a) Siling kubah masjid b) Ruang solat



c) Ruang imam d) Pondok rehat masjid



e) Papan sejarah masjid f) Carta organisasi



g) Pancuran air h) Makam Diraja

Seperti masjid-masjid lain, masjid Ubudiah ini juga mempunyai carta organisasinya sendiri. Pengerusi masjid ini ialah Y.A. BHG. Dato’ Seri Hj. Wan Mohd Fadzir B. Wan Hussain. Beliau merupakan orang besar jajahan Kuala Kangsar. Manakala jawatan timbalan pengerusi pula disandang oleh Dato’ Sheikh Mohamah Nor B. Mansor. Selain daripada reka bentuknya yang menarik, masjid ini juga sering mengadakan aktiviti-aktiviti yang dapat membantu para jemaahnya menjadi orang yang lebih baik untuk kehidupan di dunia mahupun akhirat. Pada bulan ramadhan yang lalu, masjid ini sering mengadakan ceramah. Kebiasaannya ceramah akan bermula selepas solat maghrib. Apa yang dapat saya lihat di papan kenyataan masjid tersebut, pengurusan masjid ini telah menjemput ramai ustaz untuk berkongsi ilmu mereka dengan para jemaah. Ustaz- ustaz tersebut telah menyampaikan ceramah mereka dengan berpandukan perlbagai kitab seperti kitab bimbingan mukmin, kanun jenayah syariah, fatwa Yusuf Qadrawi dan Hayatu As Sohabah.

Selain daripada itu, pengurusan masjid ini juga telah memberi bantuan hari raya Aidilfitri. Bantuan tersebut telah diberikan kepada penduduk yang kurang bernasib baik di daerah Kuala Kangsar. Seramai 14 orang penduduk telah menerima bantuan berupa wang tunai sebanyak RM200.00.


PENUTUP

Setelah saya membuat kajian secara terperinci mengenai masjid, saya dapati masjid pada masa kini masih lagi tidak dapat mengikuti secara sepenuhnya peranan yang telah diterapkan oleh masjid pada zaman keemasan Islam dahulu. Terdapat banyak masjid yang besar, cantik dan indah seni pembuatanya tetapi hanya segelintir sahaja umat Islam yang melakukan sembahyang secara berjemaah di dalamnya. Masjid sepatutnya dapat dijadikan tempat berkumpul dan tempat untuk melakukan aktiviti-aktiviti yang dapat menjadikan seseorang itu mendapat keredhaan Allah s.w.t, tidak kira umur, pangkat dan jantina. Walaubagaimanapun, jika kita lihat kebanyakan orang yang selalu datang ke masjid adalah mereka yang telah lanjut usianya dan hidup secara bersederhana. Dimanakah orang-orang muda kita? Dimanakah orang-orang yang berpangkat besar? Mereka semua sibuk melakukan maksiat, merempit dan mengejar harta kekayaan duniawi. Tidakkah mereka terfikir bahawa dunia ini merupakan satu persinggahan sahaja dan mati itu tidak mengira umur dan akan berlaku pada bila-bila masa sahaja tanpa kita ketahui sebagaimana firman Allah s.w.t dalam surah Yassin pada ayat 82, yang bermaksud “Sesungguhnya keadaan kekuasaannya apabila ia menghendaki adanya sesuatu, hanyalah ia berfirman kepada (hakikat) benda itu: “Jadilah engkau!” Maka ia terus menjadi.

Kita mestilah menggunakan masjid sebaik mungkin, dan janganlah kita hanya berasa bangga dengan seni binanya yang cantik dan telah memakan kos berjuta-juta tersebut. Terdapat hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud, ertinya, “Dari Anas bin Malik r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w bersabda: “Tidak berlaku (terjadi) hari kiamat sehingga umat ku bermegah-megah (dengan binaan) masjid”. Hadis ini menerangkan bahawa Di antara tanda hampirnya hari kiamat, ialah umat Islam berbangga dan bermegah-megah dengan masjid yang mereka bina. Negara masing-masing sering berasa bangga dan merasa megah dengan bangunan masjid. Perhatian mereka hanya kepada keindahan masjid sahaja, tidak kepada pengisian masjid dengan ibadat dan solat berjamaah.

Sebagai kesimpulannya, umat Islam yang kukuh datang daripada umat Islam yang sentiasa mengikuti segala perintah Allah s.a.w dan menjauhi segala larangannya. Umat Islam yang kukuh juga wujud apabila kita sering melakukan sembahyang secara berjemaah untuk semua waktu solat. Oleh itu, marilah kita bersama-sama mengimarahkan masjid kita dengan sering bersolat jemaah.


RUJUKAN

1) Abdurrahman Raden Aji Al-Haqqi. Peranan masjid masa kini:satu penilaian berkaitan

dengan kedudukannya sebagai wadah kepimpinan raja. Retrieved September 18,

2010, from bio-dr rahman.com

Web site: www.majlisilmu.org.bn/ilmu2004/archieve/bio-dr%20rahman.pdf

2) Wawasan masjid. Retrieved September 18,2010, from media.isnet.org

Website: http://media.isnet.org/islam/Quraish/Wawasan/Masjid.html

3) Perbezaan antara masjid dan surau. Retrieved September 18,2010, from

bicaramuslim.com

Website: http://bicaramuslim.com/bicara7

4) Hal-hal yang berkenaan masjid. Retrieved September 19, 2010,

Website: http://blog.re.or.id/hal-hal-yang-berkenaan-dengan-masjid-4.htm

5) Hadith-hadith tentang masjid. Retrieved September 19, 2010, from

nadzirummubiin.blogspot

Website: http://nadzirummubiin.blogspot.com/2009109.html

6) Artikel masjid. Retrieved September 19, 2010

Website: www.e-bacaan.com/artikel-masjid.htm

7) Peranan masjid sebagai pengharmoni antara agama. Retrieved September 19, 2010,

from scribd.com

Website: www.scribd.com/doc/14714878/peranan-masjid


8) Masjid Ubudiah. Retrieved September 20, 2010, from, arkib.gov

Website: www.arkib.gov.my/masjid_ubudiah

9) Masjid Ubudiah, Perak. Retrieved September 20, 2010, from, Wikipedia

Website: www.wikipedia.org/wiki/Masjid-Ubudiah-Perak

10) Masjid Ubudiah. Retrieved September 20, 2010, from, mpkkpk.gov

Website: www.mpkkpk.gov.my

11) Masjid ubudiah. Retrieved September 20, 2010, from, sultan.perak.gov.my

Website: www.sultan.perak.gov.my/bahasa/masjid-ubudiah.htm























































No comments:

Post a Comment